sila klik...menarik

Wednesday, September 25, 2013

CARA PEMOHONAN PELAJAR MALAYSIA DIMESIR SAMBUNG DI IPTA/IPTS


Permohonan pelajar Malaysia di Mesir sambung pelajaran di IPTA/ IPTS tempatan. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuka peluang kepada pelajar Malaysia yang telah terkandas ketika pembelajaran di Universiti Mesir untuk menyambung semula pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.

kpm

Borang Permohonan Online
Untuk dapatkan borang permohonan atas talian, sila layari https://www.mohe.gov.my/j3p2m/ atauhttp://www.moe.gov.my/

Panduan Permohonan

1. Pelajar-pelajar Malaysia dari universiti di Mesir dibenarkan memilih untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi dan pengajian Islam tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, penempatan pelajar-pelajar di IPT di Malaysia tidak melibatkan pelajar-pelajar yang sedang mengikuti tahun klinikal (tahun akhir pengajian di universiti di Mesir) bagi bidang perubatan dan pergigian.

2. Pelaksanaan pemindahan kredit bagi pelajar pengajian perubatan, pergigian dan farmasi adalah mengikut prinsip “parallel” (minus one rule) berdasarkan tahun pengajian. Sebagai contoh, pengajian perubatan di universiti di Mesir mengambil masa enam (6) tahun, manakala pengajian perubatan di Malaysia mengambil masa lima (5) tahun. Oleh yang demikian, dari segi pelaksanaan, pelajar tahun empat (4) di universiti di Mesir adalah setara dengan pelajar tahun tiga (3) IPT di Malaysia. Justeru, pemindahan kredit ini membolehkan pelajar tahun empat (4) di universiti di Mesir meneruskan pengajian pada tahun tiga (3) di IPT di Malaysia. Pelaksanaan ini dibuat secara “one-off” iaitu khas untuk kumpulan yang menghadapi krisis Mesir 2013 sahaja. Manakala pelaksanaan pemindahan kredit bagi pelajar bidang pengajian Islam yang ingin mengikuti pengajian di IPT di Malaysia adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Malaysian Qualification Agency (MQA).

3. Anda dikehendaki berdaftar dengan Jawatankuasa Pengurusan Pengajian Pelajar Malaysia di Mesir (JPPPMM) dengan mengisi borang permohonan atas talian pada pautan berikut www.mohe.gov.my/j3p2m mulai 24 September 2013 jam 5.00 petang. Anda boleh menyemak senarai IPT di Malaysia yang menawarkan bidang pengajian perubatan, pergigian, farmasi dan pengajian Islam di pautan berikut senarai IPT di Malaysia. Permohonan atas talian ditutup pada 8 Oktober 2013 jam 12.00 tengah hari.

4. Borang permohonan yang telah lengkap hendaklah dicetak serta dikepilkan dengan dokumen sokongan (yang telah disahkan) seperti berikut:
a. Salinan Kad Pengenalan;
b. Salinan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM);
c. Salinan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) / Matrikulasi / Asasi / Sijil Tinggi Agama
Malaysia (STAM) atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia (sila rujuk pautan kelayakan MQA );
d. Salinan surat tawaran daripada universiti di Mesir (jika ada);
e. Keputusan peperiksaan bagi setiap semester di Universiti di Mesir (jika ada);
f. Salinan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) (jika ada);
g. Salinan surat tawaran penajaan / pinjaman (jika ada);dan
h. Salinan surat tawaran IPT di Malaysia (jika ada).

5. Anda perlu mengemukakan borang permohonan atas talian yang telah dicetak berserta dengan dokumen-dokumen sokongan kepada JPPPMM selewat-lewatnya pada 09 Oktober 2013 sebelum pukul 12.00 tengah hari di alamat berikut.
Bahagian Education Malaysia
Jabatan Pengajian Tinggi
Aras 4, No.2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5
62200 W.P. Putrajaya

6. Syarat minimum kelayakan akademik bagi penempatan pelajar di IPTA untuk kursus pengajian perubatan, pergigian dan farmasi adalah dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred A- atau A2 dalam sembilan (9) subjek di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Moden, Matematik Tambahan dan satu daripada mana-mana subjek dalam SPM SERTA mendapat sekurang-kurangnya Jayyid Jiddan dalam keputusan semasa di universiti di Mesir.

7. Bagi pelajar yang mengambil peperiksaan ulangan dan masih belum mendapat keputusan peperiksaan, penentuan tahun kemasukan ke IPT di Malaysia akan ditentukan oleh JPPPMM.

8. Keputusan berjaya atau gagal bagi pemilihan pelajar untuk meneruskan pengajian di IPT di Malaysia adalah ditentukan oleh JPPPMM dan keputusan adalah muktamad.

No comments:

Post a Comment

Saksikan...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...